Notis Privasi untuk Google Account dan Profil yang Diurus dengan Family Link, untuk Kanak-kanak berumur bawah 13 tahun (atau umur yang bersesuaian di negara anda) (“Notis Privasi”)

Untuk membolehkan anak anda memiliki Google Account atau profil mereka sendiri, kami mungkin memerlukan kebenaran anda untuk mengumpulkan, menggunakan atau mendedahkan maklumat anak anda seperti yang diterangkan dalam Notis Privasi ini dan Dasar Privasi Google. Apabila anda membenarkan anak anda menggunakan perkhidmatan kami, anda dan anak anda mengamanahkan maklumat anda kepada kami. Kami faham bahawa perkara ini merupakan tanggungjawab yang besar dan kami bekerja keras untuk melindungi maklumat anda serta meletakkan kawalan di tangan anda. Anda boleh memilih sama ada anak anda boleh mengurus kawalan aktiviti mereka untuk perkara seperti Aktiviti Web & Apl, Sejarah YouTube, dan, di rantau yang bersesuaian, memautkan perkhidmatan Google tertentu.

Notis Privasi untuk Google Account dan Profil yang Diurus dengan Family Link, untuk Kanak-kanak yang belum mencapai umur 13 tahun (atau umur yang bersesuaian di negara anda) ini dan Dasar Privasi Google menerangkan amalan privasi Google. Sekiranya terdapat amalan privasi yang khusus untuk akaun atau profil anak anda, misalnya berhubung pengehadan pada pengiklanan diperibadikan, perbezaan tersebut digariskan dalam Notis Privasi ini.

Notis Privasi ini tidak terpakai pada amalan mana-mana apl, tindakan atau laman web pihak ketiga (bukan Google) yang mungkin anak anda gunakan. Anda harus menyemak syarat dan dasar yang berkenaan untuk apl, tindakan serta laman pihak ketiga bagi menentukan kesesuaiannya untuk anak anda, termasuk amalan pengumpulan dan penggunaan data.

Maklumat Yang Kami Kumpul

Apabila anda memberikan kebenaran untuk anak anda memiliki Google Account atau profil, secara amnya, akaun atau profil mereka akan dikendalikan seperti akaun anda berkaitan dengan maklumat yang kami kumpulkan. Sebagai contoh, kami mengumpulkan:

Maklumat yang anda buat atau berikan dan maklumat yang dibuat atau diberikan oleh anak anda kepada kami.

Sebagai sebahagian daripada proses membuat akaun atau profil, kami mungkin meminta maklumat peribadi seperti nama pertama dan nama keluarga, alamat e-mel, dan tarikh lahir. Kami mengumpulkan maklumat yang anda atau anak anda berikan, seperti butiran hubungan dalam talian anda, yang kami perlukan apabila mahu menghubungi anda untuk meminta persetujuan. Kami juga mengumpulkan maklumat yang dibuat, dimuat naik, atau diterima oleh anak anda daripada orang lain semasa menggunakan akaun atau profil mereka, seperti apabila anak anda menyimpan gambar dalam Google Photos atau membuat dokumen dalam Google Drive.

Maklumat yang kami peroleh daripada penggunaan perkhidmatan kami oleh anak anda.

Kami mengumpulkan dan menyimpan maklumat tertentu secara automatik tentang perkhidmatan yang digunakan oleh anak anda dan cara anak anda menggunakannya, seperti apabila anak anda memasukkan pertanyaan dalam Google Search, bercakap kepada Google Assistant, atau menonton video di YouTube Kids. Maklumat ini termasuk:

  • Apl, penyemak imbas & peranti anak anda

    Kami mengumpulkan maklumat apl, penyemak imbas dan peranti yang digunakan oleh anak anda untuk mengakses perkhidmatan Google, termasuk pengecam unik, jenis dan tetapan penyemak imbas, jenis dan tetapan peranti, sistem pengendalian, maklumat rangkaian mudah alih termasuk nama pembawa dan nombor telefon serta nombor versi aplikasi. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang interaksi apl, penyemak imbas dan peranti anak anda dengan perkhidmatan kami, termasuk alamat IP, laporan ranap sistem, aktiviti sistem dan tarikh, masa serta URL perujuk permintaan anak anda. Contohnya, kami mengumpulkan maklumat ini apabila perkhidmatan Google pada peranti anak anda menghubungi pelayan kami, seperti apabila mereka memasang apl daripada Play Store.

  • Aktiviti anak anda

    Kami mengumpulkan maklumat tentang aktiviti anak anda dalam perkhidmatan kami, bergantung pada tetapan anak anda, yang kami gunakan untuk melakukan pelbagai perkara seperti mengesyorkan apl yang mungkin disukai oleh mereka pada Google Play. Anda boleh memilih sama ada anak anda boleh mengurus kawalan aktiviti mereka atau tidak. Maklumat aktiviti anak anda yang kami kumpulkan mungkin termasuk perkara seperti istilah carian, video yang mereka tonton, maklumat suara dan audio apabila mereka menggunakan ciri audio, orang yang berkomunikasi dengan mereka atau menerima perkongsian kandungan mereka, dan sejarah penyemakan imbas Chrome yang telah mereka segerakkan dengan Google Account mereka. Jika anak anda menggunakan perkhidmatan kami untuk membuat dan menerima panggilan atau menghantar dan menerima mesej, contohnya dengan menggunakan Google Meet atau Duo, kami boleh mengumpulkan maklumat log telefoni. Anak anda boleh melawati Google Account mereka untuk mencari dan mengurus maklumat aktiviti yang disimpan dalam akaun atau profil mereka dan anda juga boleh membantu mereka mengurus maklumat aktiviti mereka dengan log masuk ke Google Account anak anda atau mengakses profil mereka dalam Family Link.

  • Maklumat lokasi anak anda

    Kami mengumpulkan maklumat tentang lokasi anak anda apabila mereka menggunakan perkhidmatan kami. Lokasi anak anda boleh ditentukan dengan menggunakan GPS, alamat IP, data penderia daripada peranti mereka dan maklumat tentang perkara berdekatan peranti mereka, seperti titik akses Wi-Fi, menara sel dan peranti yang mendayakan Bluetooth. Jenis data lokasi yang kami kumpul bergantung sebahagiannya pada tetapan anda dan peranti anak anda.

  • Maklumat suara & audio anak anda

    Kami mungkin mengumpulkan maklumat suara dan audio anak anda. Sebagai contoh, jika anak anda menggunakan perintah pengaktifan audio (mis., “OK, Google” atau menyentuh ikon mikrofon), rakaman pertuturan/audio yang berikut akan diproses untuk membalas permintaan mereka. Tambahan pula, jika pilihan Aktiviti Suara & Audio anak anda dalam tetapan Aktiviti Web & Apl ditandai, rakaman interaksi suara mereka dengan Assistant pada peranti log masuk (serta beberapa saat sebelumnya) mungkin akan disimpan dengan akaun mereka.

Kami menggunakan pelbagai teknologi untuk mengumpulkan dan menyimpan maklumat anak anda, termasuk kuki, tag piksel, storan setempat, seperti storan web penyemak imbas atau cache data aplikasi, pangkalan data, dan log pelayan. Kami tidak memerlukan anak anda memberikan lebih banyak maklumat peribadi daripada yang sewajarnya untuk menggunakan produk dan perkhidmatan Google yang tersedia bagi akaun atau profil ini.

Cara Kami Menggunakan Maklumat yang Kami Kumpul

Dasar Privasi Google menerangkan cara kami mungkin menggunakan data yang dikumpul oleh Google berkaitan dengan Google Account atau profil anak anda, dengan lebih terperinci. Secara umumnya, kami menggunakan maklumat anak anda: untuk menyediakan, menyenggara dan menambah baik perkhidmatan kami; untuk membangunkan perkhidmatan baharu; untuk menyesuaikan perkhidmatan kami untuk anak anda; untuk mengukur prestasi dan memahami cara perkhidmatan kami digunakan; untuk berkomunikasi secara langsung dengan anak anda berkenaan dengan perkhidmatan kami; dan untuk membantu kami meningkatkan keselamatan serta keandalan perkhidmatan kami.

Kami menggunakan pelbagai teknologi untuk memproses maklumat anak anda bagi tujuan ini. Kami menggunakan sistem automatik yang menganalisis kandungan anak anda untuk menyediakan ciri-ciri seperti hasil carian tersuai atau ciri lain yang disesuaikan dengan cara mereka menggunakan perkhidmatan kami. Kami juga menganalisis kandungan anak anda untuk membantu kami mengesan penyalahgunaan seperti spam, perisian hasad dan kandungan yang menyalahi undang-undang. Kami juga menggunakan algoritma untuk mengenal pasti pola dalam data. Apabila spam, perisian hasad, kandungan haram dan beberapa bentuk penyalahgunaan lain dikesan pada sistem kami dan melanggar dasar kami, kami mungkin akan melumpuhkan akaun atau profil mereka atau mengambil tindakan lain yang sesuai. Dalam keadaan tertentu, kami juga mungkin melaporkan pelanggaran tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Bergantung pada tetapan anak anda, kami mungkin menggunakan maklumat anak anda untuk memberikan syor, kandungan diperibadikan dan hasil carian tersuai. Misalnya, bergantung pada tetapan anak anda, Google Play mungkin menggunakan maklumat seperti apl yang telah dipasang oleh anak anda untuk mencadangkan apl baharu yang mungkin disukai oleh mereka.

Selain itu, bergantung pada tetapan anak anda, kami boleh menggabungkan maklumat yang kami kumpulkan melalui perkhidmatan kami dan merentas peranti anak anda bagi tujuan yang diperihalkan di atas. Bergantung pada tetapan akaun atau profil anak anda, aktiviti mereka pada laman dan apl lain mungkin dikaitkan dengan maklumat peribadi mereka untuk meningkatkan perkhidmatan Google.

Google tidak akan menyiarkan iklan diperibadikan kepada anak anda, yang bermaksud iklan bukan berdasarkan maklumat daripada akaun atau profil anak anda. Sebaliknya, iklan mungkin berdasarkan maklumat seperti kandungan laman web atau apl yang anak anda lihat, pertanyaan carian semasa, atau lokasi umum (seperti bandar atau negeri). Apabila menyemak imbas web atau menggunakan apl bukan Google, anak anda mungkin menemukan iklan yang disiarkan oleh penyedia iklan lain (bukan Google), termasuklah iklan yang diperibadikan oleh pihak ketiga.

Maklumat yang Boleh Dikongsi oleh Anak Anda

Anak anda mungkin dapat berkongsi maklumat, termasuk foto, video, audio, dan lokasi, secara terbuka serta dengan orang lain, apabila mereka log masuk dengan Google Account atau profil mereka. Apabila anak anda berkongsi maklumat secara terbuka, maklumat itu boleh diakses melalui enjin carian seperti Google Search.

Maklumat yang Dikongsi oleh Google

Maklumat yang kami kumpulkan mungkin dikongsi di luar Google dalam keadaan terhad. Kami tidak berkongsi maklumat peribadi dengan syarikat, organisasi dan individu di luar Google kecuali dalam keadaan berikut:

Dengan persetujuan

Kami akan berkongsi maklumat peribadi di luar Google dengan persetujuan (mengikut kesesuaian).

Dengan kumpulan keluarga anda

Maklumat anak anda, termasuk nama, foto, alamat e-mel dan pembelian Play mereka, mungkin dikongsi dengan ahli kumpulan keluarga anda di Google.

Untuk pemprosesan luar

Kami memberikan maklumat peribadi kepada ahli gabungan kami atau perniagaan mahupun orang lain yang dipercayai untuk memproses maklumat tersebut bagi pihak kami, berdasarkan arahan kami dan dengan cara yang mematuhi Notis Privasi ini, Dasar Privasi Google, dan sebarang langkah kerahsiaan dan keselamatan lain yang bersesuaian.

Untuk tujuan undang-undang

Kami akan berkongsi maklumat peribadi dengan syarikat, organisasi dan individu di luar Google jika kami mempercayai sepenuh hati bahawa akses, penggunaan, pemeliharaan atau pendedahan maklumat tersebut adalah wajar untuk:

  • mematuhi sebarang undang-undang yang berkenaan, peraturan, proses undang-undang atau arahan kerajaan yang boleh dikuatkuasakan;

  • menguatkuasakan Syarat Perkhidmatan yang berkenaan, termasuk penyiasatan pelanggaran-pelanggaran yang mungkin berlaku;

  • mengesan, menghalang atau juga menangani isu-isu penipuan, keselamatan atau teknikal;

  • melindungi daripada bahaya terhadap hak, harta atau keselamatan Google, pengguna kami atau orang ramai seperti yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang.

Kami juga mungkin berkongsi maklumat peribadi yang tidak dapat dikenal pasti (seperti arah aliran berkaitan penggunaan umum perkhidmatan kami) secara terbuka dan dengan rakan kongsi kami — seperti penerbit, pengiklan, pembangun atau pemegang hak. Misalnya, kami berkongsi maklumat secara terbuka untuk menunjukkan arah aliran berkaitan penggunaan umum perkhidmatan kami. Kami juga membenarkan rakan kongsi tertentu mengumpulkan maklumat daripada penyemak imbas atau peranti untuk tujuan pengiklanan dan pengukuran dengan menggunakan kuki mereka sendiri atau teknologi yang serupa.

Akses kepada Maklumat Peribadi Anak Anda

Jika anak anda mempunyai Google Account, anda boleh mengakses, mengemas kini, mengalih keluar, mengeksport, dan mengehadkan pemprosesan maklumat anak anda dengan log masuk ke Google Account mereka. Jika anda tidak mengingati kata laluan anak, anda boleh menetapkan semula kata laluan itu melalui apl Family Link atau tetapan Family Link di web. Setelah anda log masuk, anda boleh menggunakan pelbagai kawalan yang diterangkan dalam Dasar Privasi Google, seperti kawalan aktiviti Google, untuk membantu anda mengurus tetapan privasi dan maklumat anak anda.

Jika anak anda mempunyai profil, anda boleh mengakses, mengemas kini, mengalih keluar, mengeksport dan mengehadkan pemprosesan maklumat anak anda melalui apl Family Link atau tetapan Family Link di web.

Anak anda akan berupaya untuk memadamkan aktiviti mereka yang lalu dalam "Aktiviti Saya", dan memberikan kebenaran apl (termasuk perkara seperti lokasi peranti, mikrofon, atau kenalan) kepada pihak ketiga secara lalai. Anda juga boleh menggunakan Family Link untuk mengedit atau mengubah suai maklumat Google Account atau profil anak anda, menyemak aktiviti apl dan kebenaran apl, serta mengurus keupayaan anak anda untuk memberikan kebenaran tertentu kepada apl atau perkhidmatan pihak ketiga untuk mengakses maklumat anak anda.

Jika anda mahu menghentikan pengumpulan atau penggunaan lanjut maklumat anak anda pada bila-bila masa, anda boleh memadamkan Google Account atau profil anak anda dengan mengklik “Padamkan akaun” atau “Padamkan profil” pada halaman Maklumat Akaun atau Profil anak anda dalam apl Family Link atau tetapan Family Link pada web. Maklumat akaun atau profil anak anda akan dipadamkan secara kekal dalam tempoh yang munasabah.

Hubungi Kami

Jika anda mempunyai sebarang soalan tentang Google Account atau profil anak anda, jangan teragak-agak untuk menghubungi kami. Kami bersedia membantu anda. Anda dapat menemukan maklumat tambahan tentang Family Link dan Google Account atau profil anak anda di pusat bantuan kami. Anda juga boleh menghantar maklum balas kepada kami tentang Family Link, atau Google Account atau profil anak anda dalam apl Family Link dengan mengetik Menu ☰ > Bantuan & Maklum Balas > Hantar maklum balas, atau dengan menghubungi kami melalui e-mel atau melalui alamat di bawah.

Google
1600 Amphitheatre Parkway
Mountain View, CA 94043 USA
Telefon: +1 855 696 1131 (USA)
Untuk negara lain, lawati g.co/FamilyLink/Contact

Jika anda mempunyai soalan tentang cara Google mengumpulkan dan menggunakan data anak anda, anda boleh menghubungi Google dan pejabat perlindungan data kami. Anda juga boleh menghubungi pihak berkuasa perlindungan data tempatan anda jika anda mempunyai kebimbangan mengenai hak anda di bawah undang-undang tempatan.

Apl Google
Menu utama